Sunday, December 22, 2013

Surah Al Waqiah

Surah Al-Waqiah adalah surah yang ke -56 di dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Dinamakan Al-Waqiah kerana diambil dari lafaz Al-Waqiah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang ertinya kiamat.

Di dalam surah Al-Waqiah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan juga penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah SWT dan adanya hari berbangkit.
 .
.

Al-Waqiah Surah Kekayaan

Surah Al-Waqiah memang terkenal dengan beberapa khasiatnya dan kelebihan tersendiri dan hadis mengenainya adalah sahih.
1.  Dengan mewiridkan surah Al-Waqiah sebagai bacaan rutin setiap hari dan malam, maka Allah menjauhkan kefakiran selamanya. Sa’ad Al Mufti mengatakan, bahawa hadis ini sahih.
Rasulullah SAW bersabda:
Man qara’a suratal-Waqi’ati lam yaftaqir abada.
“Sesiapa (membiasakan) membaca surah Al-Waqiah, maka ia tidak akan kefakiran selamanya.”
 .
2.  Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah setiap hari, ia tidak akan ditimpa kefakiran.”
3.  Daripada Ibnu Mas’ud r.a., Rasulullah SAW bersabda:  “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah setiap malam, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.” (HR: Al- Baihaqi)
4.  Rasulullah SAW bersabda:  “Ajarkanlah surah Al-Waqiah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)
5. Rasulullah SAW bersabda:  “Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”
 .
Menurut fatwa sebahagian Ulama’ katanya: “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta berkah pula.”
 .
.

.
.

Khasiat Surah Al-Waqiah

Di dalam surah Al-Waqiah terkandung beberapa fadhilat dan khasiat, antara lain:
 .
1.  Mereka yang membacanya sebagai wirid, Insya’Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya.
2.  Bila orang membiasakan membaca surah ini setiap malam satu kali, maka dia dijauhkan dari kemiskinan selamanya.
3.  Mereka yang membacanya sebanyak 14 X setiap lepas Solat Asar, Insya’Allah akan dikurniakan dengan kekayaan dan rezeki yang berlimpah ruah.
4.  Jika dibaca surah ini sebanyak 41 X dalam satu majlis, Insya’Allah ditunaikan segala hajatnya khususnya yang berkaitan dengan rezeki.
5.  Menjadi orang kaya yang sentiasa bersyukur, amalkan membaca surah ini sebanyak 3 X selepas Solat Subuh dan 3 X selepas Solat Isyak. Insya’Allah tidak akan berlalu masa setahun itu melainkan ia akan dijadikan seorang yang hartawan lagi dermawan.
6.  Amalan orang-orang sufi, supaya dilimpahkan rezeki; Insya’Allah berhasil:
  • Hendaklah berpuasa selama seminggu bermula pada hari Jumaat.
  • Selepas tiap solat fardhu bacalah Surah Al-Waqiah sebanyak 25 kali sehinggalah sampai pada malam Jumaat berikutnya.
  • Pada malam Jumaat berikutnya, selepas solat Maghrib bacalah Surah Al-Waqiah sebanyak 25 kali dan selepas solat Isyak sebanyak 125 kali.
  • Diikuti dengan selawat ke atas Nabi sebanyak 1000 kali.
  • Setelah selesai, hendaklah ia memperbanyakkan sedekah.
  • Kemudian amalkanlah Surah Al-Waqiah ini sekali pada waktu pagi dan petang.
7.  Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi’ah, ayat 35-38 sebanyak 7 X. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita.
Makna Surah Al-Waqi’ah Ayat 35-38 ialah : “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.”
8.  Surah Al-Waqiah ini jika dibaca di sisi mayat atau orang yang sedang nazak, Insya’Allah di permudahkan untuk roh keluar dari jasadnya. Jika dibaca disisi orang sakit, diringankan kesakitannya. Jika di tulis, kemudian dipakaikan kepada orang yang hendak bersalin, Insya’Allah segera melahirkan dengan mudah. Boleh juga dibaca di sisi orang yang hendak bersalin sebagai selusuh.
 .
.

Petua Kaya Syeikh Abi’l Abbas

Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya;  Dengan mengamalkan seperti berikut, Insya’Allah, ia akan menjadi orang kaya.
 .
1.  Bila hendak mengamalkan surah Al- Waqiah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Buka puasanya hanya makan sayur-sayuran / tumbuhan sahaja (tidak memakan sesuatu yang bernyawa seperti tidak makan ikan, daging, segala haiwan).
2.  Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqiah sebanyak 25 X. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isyak pada Jumaat berikutnya.
3.  Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqiah sebanyak 125 X, kemudian berselawat 1000 X.
  .
.
Insya’Allah, dengan mengamalkan surah Al-Waqiah seperti yang diberitahu dalam hadis-hadis Nabi SAW, kita akan memperolehi rezki yang banyak, supaya kita dapat menolong dan membantu orang lain yang memerlukan bantuan dan memperbanyakkan lagi amal jariah kita supaya dapat dibawa ke sana nanti.
Bacalah surah Al-Waqiah ini dengan hati yang ikhlas memohon rezki dariNya. Jangan berniat untuk kaya di dunia yang sementara. Dalam niat kita dengan rezeki yang banyak kita dapat beribadat kepadaNya dan membuat amal jariah. Barulah Allah SWT memperkenankan doa-doa kita.

Surah As Sajdah

Pengenalan

☼ Surah As-Sajdah diturunkan di Mekah, ayat-ayat Makiyyah.
☼ Merupakan surah ke-32 dalam Juz' ke-21.
☼ Mengandungi 30 ayat.
☼ Membawa maksud 'sujud'.
☼ Dinamakan As-Sajdah kerana terdapat ayat yang menerangkan perihal orang-orang yang beriman, apabila mendengar ajaran kitab Allah lalu sujud sebagai bersyukur atas segala nikmat Allah.

Kelebihan Surah As-Sajdah:

1- Mendapat pahala seperti solat ketika Lailatul Qadar.
2- Dikuatkan keIslaman dan tauhidnya.
3- Mendapat ilmu yang benar.


Sabda Rasulullah (yang bermaksud) :

"Sesiapa membaca Surah As-Sajdah, pahalanya seperti orang yang solat menepati malam al-Qadar dan dikuatkan keIslamannya, tauhidnya serta mendapat ilmu yang benar."

4- Melindungi pembacanya daripada kesusahan semasa hari Kiamat.

Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):

"Surah Alif Laam Sajdah akan datang pada hari Kiamat dengan 2 sayap sambil melindungi si pembacanya seraya berkata; "Tidak ada kesusahan bagimu.""

5- Merupakan amalan Rasulullah setiap malam (di samping surah Al-Mulk).

Dan diriwayatkan imam Ahmad daripada jabir berkata (yang bermaksud):

”Adalah Nabi SAW tidak tidur hingga dibaca surah As-Sajdah dan Al-Mulk”

6- Surah As-Sajdah dan Al-Mulk melebihi 17 kali ganda berbanding surah-surah lain.

Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud) :

"Kedua-dua surah ini melebihi surah-surah yang lain sebanyak 17 kali ganda."

7- Dikurniakan nur (cahaya) bagi pembacanya ketika ia mati.
8- Melindungi pembacanya dari seksa kubur.
9- Surah yang dibaca oleh Rasulullah ketika solat Subuh pada hari Jumaat (di samping surah Al-Insaan).

“Nabi SAW membaca pada solat fajar (subuh) pada hari Jumaat “Alif Laam Miim Tanzil” As-Sajdah dan “Hal Ata ‘Alal Insaan” Al-Insaan

(Hadis Riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.)

10- Merupakan salah satu surah Al-Munjiah.

Al-Darimi menyebutkan sebuah athar yang bersumberkan daripada Khalid bin Mi'dan katanya:

“Bacalah surah al-Munjiah iaitu alif lam mim tanzil, kerana sesungguhnya telah sampai berita kepadaku tentang seorang lelaki yang sering membacanya yang mana dia tidak beramal dengan surah selainnya. Lelaki itu pula merupakan seorang yang banyak berbuat dosa. Lalu surah tersebut menebarkan sayapnya seraya berkata: Wahai Tuhanku, ampunkanlah dosanya kerana dia seorang yang banyak membaca daku. Lalu Tuhan memberikan syafaat kepadanya serta berfirman: Tuliskan untuknya bagi setiap kejahatan yang dilakukannya sebagai kebajikan dan angkatkan untuknya satu darjat.”

Sujud Tilawah

Apabila sampai membaca ayat 15 (Surah As-Sajdah), kita disunatkan sujud Tilawah.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, "Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka.

(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum sujud Tilawah adalah sunat mu'akad, atau sunat yang amat digalakkan.

Dari Umar r.a.: Pada suatu hari Jumaat, baginda (Rasulullah) membaca surah al-Nahl di atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat sajadah, baginda lalu turun dan sujud. Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada hari Jumaat berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat sajdah baginda berkata: "Wahai manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi barangsiapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan barangsiapa yang tidak melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa."

(Hadis Riwayat Bukhari)

Bacaan ketika Sujud Tilawah:


Maksudnya:

"Bersujud wajahku kepada Tuhan yang menciptakannya, yang membelah pendengaran dan penglihatannya dengan Daya dan Kekuatan-Nya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta."

Al-Quran memberi syafaat di akhirat

Rasulullah s.a.w bersabda :

'Bila seseorang itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.

Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata, Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga.'

Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata,'Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.'

Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi.

Rasulullah s.a.w bersabda :

'Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Al-Quran, mahupun dari Nabi atau Malaikat.'

Friday, December 20, 2013

Surah Al Mulk

Surah Al Mulk (bahasa Arab:الملك ) adalah surah ke 67 dalam Al-Qur’an. Surah ini tergolong surah ‘makkiyah’ yang terdiri daripada 30 ayat. Dinamakan Al Mulk kerana kata Al Mulk yang terdapat pada ayat pertama surah ini. yang bererti ‘Kerajaan’. Surat ini disebut juga dengan ‘At Tabaarak’ yang bererti Maha Suci.
Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia akan menjadi penyelamat dan pendinding dari seksa kubur kepada pembacanya. 

Surah Mulk hendaklah dibaca secara istiqamah dengan menjadikan membacanya amalan kehidupan seharian. Ulama berkata: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak akan beradu melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”
 .
.

Kandungan Surah Al Mulk

Secara umumnya, surah ini banyak mengisahkan tentang kekuasaan Allah terhadap makhluk ciptaan-Nya. Ini jelas digambarkan daripada tajuk surah ini, al-Mulk, yang bermaksud ‘kerajaan’. Pada awal surah, ayat ini diceritakan kesempurnaan ciptaan alam ini, yang tidak ada cacat-celanya.
 .
Allah telah menciptakan alam ini daripada awal yang tiada apa-apa kepada yang ada dan seterusnya menjaga alam ini dengan penuh kesempurnaan. Allah berkuasa menciptakan dan mematikan sesuatu menurut kehendak-Nya.
 .
Beberapa ayat yang seterusnya mengisahkan azab di neraka, di mana setiap kali sekumpulan manusia di campakkan ke dalam api neraka, malaikat penjaga bertanya, “Apakah belum pernah datang orang yang memberi peringatan kepada kamu?”. “Ya, tetapi kami mendustakannya”. Begitulah respons mereka.
 .
Cuba kita lihat dalam kehidupan seharian kita. Adakah kita sering menolak ajakan untuk membuat kebaikan? Jika ya, cuba check iman, mudah-mudahan kita tidak termasuk ke dalam golongan yang akan menyesal di akhirat kelak.
 .
Dan secara ringkasnya, ayat-ayat yang berikutnya berkisarkan kuasa Allah yang mengetahui perkara yang disembunyikan, berkuasa menciptakan burung yang terbang di angkasa, dan yang berkuasa memberi dan menahan rezeki kita. Allah amatlah murka terhadap mereka yang mendustakannya, walhal telah jelas bukti kewujudan dan kekuasaaan-Nya.
 .
Surah ini ditutup dengan suatu pernyataan yang harus kita renungi bersama : “Katakanlah (Muhammad), Terangkanlah kepadaku, jika sumber air kamu menjadi kering, maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?”

Kelebihan Surah Al Mulk

Surah ini menyelamatkannya daripada azab kubur. Kelebihan juga dinyatakan pada malam hari. Seseorang yang membacanya pada malam hari telah melakukan banyak ibadah dan telah melakukan satu amalan yang baik.
“Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak akan tidur melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”
Di antara kelebihan Surah ini ialah:
1. Surah ini akan menjadi penyelamat.
2. Penegah pembacanya dari seksa kubur.
3. Berada di bawah naungan sayap malaikat (mendapat rahmat Allah).
4. Di hari kiamat rupanya akan dicerahkan seperti wajah Nabi Yusuf (cantik).
5. Dinamakan Surah gagah perkasa, pintar lagi cerdik.
 .
.

Fadhilat Dari Hadis

Terdapat banyak hadis tentang fadhilat yang terkandung dalam Surah Al Mulk, iaitu:
.
1. Mendapat Syafaat
  • Daripada Abu Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam al_Quran ada 30 ayat memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diberi keampunan untuknya iaitu surah al-Mulk.”
  • Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun untuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk.” 
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.” 
  • Ulama berkata: ”Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan Tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka.”
 .
.
2.  Menyelamatkan daripada seksa kubur
Di dalam kubur orang yang telah mati para malaikat azab datang pada sisi kakinya untuk memberi  hukuman.  Kakinya berkata; “kamu tidak dapat hampir dari sisi kakiku kerana orang ini pernah berdiri dalam solat dan membaca Surah Al-Mulk”. Kemudian mereka datang dari sisi dada (hati) dan perut, dan mereka juga terhalang. Kemudian mereka datang dari sisi kepala.
Pendekata, setiap sendi berkata; “kamu tidak dapat datang dari arah ini kerana orang ini selalu membaca Surah Al-Mulk”. Maka, Surah ini menyelamatkannya daripada azab kubur.
.
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.” 
  • Nabi Muhammad SAW  bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur.” 
  • Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai penganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir”. 
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga.” 
  • Saiyidina ‘Abdullah bin Abbas berkata: “Sesiapa membaca surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk.”
  • Daripada Ibnu Abbas r.a berkata, seorang sahabat Rasulullah SAW telah mendirikan khemah di atas kubur dan beliau tidak tahu ianya kubur. Maka di dalamnya terdengar suara bacaan surah al-Mulk sehingga khatam maka beliau menemui baginda SAW dan berkata : “Wahai Rasulullah SAW, saya dirikan satu khemah di atas satu kubur dan saya tidak tahu bahawa ianya kuburdan saya terdengar seorang manusia sedang membaca surah al-Mulk sehingga khatam. ” Nabi SAW bersabda; “Itulah yang menahan dan menyelamatkan dia daripada siksa kubur.”  (HR At-Tarmizi)
 .
 .
3. Hati Beriman
  • Rasulullah SAW bersabda: “Hatiku ingin supaya Surah Al-Mulk berada di dalam hati setiap orang yang beriman.” (iaitu setiap muslim hendaklah mempelajarinya dan membacanya dengan istiqamah).
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”
 .
 .
4.  Mendapat Keistimewaan
  • Saiyidina ‘Ali berkata: ”Sesiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf.” 
  • Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Sesiapa mengamalkannya, nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.” .
Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan tentang fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka yang mengamalkan membaca surah Al-Mulk ini. Di antaranya diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tarmizi, An Nasa’i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah yang bermaksud:
“Sesungguhnya di dalam Al Quran terdapat tiga puluh ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia akan mendapat keampunan dosanya iaitu Surah Al Mulk.”
Daripada Ibnu Abbas r.a., seseorang sahabat Rasulullah s.a.w. menceritakan ia telah mendirikan khemah di atas kubur yang beliau tidak ketahui. Dari kuburan itu beliau terdengar suara orang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam; beliau lalu menemui baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya dirikan khemah di atas sebuah kubur yang saya tidak ketahui, saya mendengar seorang sedang membaca Surah Al Mulk sehingga khatam.”
Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Itulah yang menahan (Al-Maa’inah) dan yang menyelamatkan (Al-Manjiah) dia dari siksa kubur.”
(HR At Tarmizi)
Daripada Jabir r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak akan tidur sehingga baginda membaca surah Alif Lam Miim Al Sajdah dan Al Mulk.
(HR At Tarmizi)
Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu surah di dalam Al Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga iaitu Tabarak-al-llazhi.”(Surah Al-Mulk)
(HR At Tabrani)
An-Nasa’i juga meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah Al Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.”
Tentang surah ini ada satu riwayat yang lain menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hatiku menghendaki supaya surah ini berada didalam setiap hati orang-orang yang beriman.”
Mengikut satu hadis, seseorang yang membaca dua surah iaitu Tabarak-al-lazhi dan Alif-Lam-Mim-Sajdah di antara sembahyang Maghrib dan Isya adalah seumpama sesorang yang berdiri sembahyang untuk sepanjang malam Lailatul-Qadar. Adalah diberitakan juga bahawa jika seseorang itu membaca dua surah ini, tujuh puluh kelebihan akan diperolehinya dan tujuh-puluh dosa-dosa akan dihapuskan. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca dua surah ini, ganjaran pahalanya adalah menyamai orang yang berdiri sembahyang sepanjang malam ‘Lailatul-Qadar’. Ini juga telah disebutkan di dalam Mazahir.
Ta’us rahmatullah ‘alaih telah berkata: “Kedua-dua surah ini mendatangkan enam-puluh kelebihan-kelebihannya yang mengatasi daripada segala surah-surah.”
Siksaan di dalam kubur bukanlah satu perkara yang biasa. Setelah meninggal dunia, tingkat pertama seseorang itu mesti lalui ialah alam barzakh. Apabila Saidina Uthman r.a. berdiri diatas sebuah kubur, ia akan menangis dengan begitu sekali sehinggalah janggutnya dibasahi air-matanya. Seseorang telah bertanya kepadanya mengapakah menangis begitu rupa jika disebut kubur daripada disebutkan Syurga atau Neraka.
Ia menjawab, “Aku telah mendengar dari Rasulullah s.a.w. bahawa kuburlah tempat persinggahan yang pertama untuk menuju akhirat. Barangsiapa terselamat daripada azabnya , peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Dan sesiapa yang tidak selamat daripada azab di dalamnya, kepadanya peristiwa yang akan datang kelak menjadikan lebih sukar sekali. Dan daku juga mendengar bahawa tidak ada satu gambaran yang lebih menakutkan dan menggerunkan selain daripada apa yang ada didalam kubur.”
Ya Allah ! Selamatkanlah kami daripada azab-Mu dengan keampunan-Mu..

 

Khasiat Ayat Dari Surah Al-Mulk

Ayat dari Surah Al Mulk juga mempunyai khasiat dan keistimewaan yang lain. Diantaranya:
 .
1.  Khasiat Ayat 14 Surah Al-Mulk

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ‌ ﴿١٤

Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!
1. Dipandang hebat dan berwibawa.
2. Boleh mengetahui apakah kelebihan diri sendiri.
3..Dapat merasai apabila ajal telah hampir tiba.
4. Jika diamalkan menjadi wirid, zikir harian boleh meluaskan rezeki dan menghilangkan fakir.
5. Dibaca 2,012 kali untuk menolak bala yang besar.
6. Jauh dari seksa kubur jika dibaca ayat 14 dan 15 surah Al Mulk.
7. Jika berhajat hendak melihat orang yang melakukan jahat, pencuri, sihir, memfitnah, orang yang sudah meninggal dalam kubur dan perkara yang penting dalam peperiksaan lakukan:
a. Solat hajat.
b. Baca ayat di atas 9 kali dan diniatkan.
c. Tidur dalam keadaan berwudhu dan berdoa (apa niat kita) dan tidur mengiring dengan lembung kanan.
.
.

2.  Khasiat Ayat 23 Surah Al-Mulk

قُلْ هُوَ الَّذِي أَنشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ‌ وَالْأَفْئِدَةَ ۖ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُ‌ونَ ﴿٢٣

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.
.
- Jika diamalkan ayat ini, iaitu dibacakan pada gigi yang sakit. InsyaAllah, akan berkurangan dan sembuh sakit giginya.
.
.
Terdapat banyak keistimewaan daripada tiga puluh ayat Surah Al – Mulk tersebut. Ia akan terus mensyafaati bagi orang yang membacanya dengan istiqamah hingga ia diampunkan.

Monday, July 8, 2013

Hati

Hati merupakan raja kepada segala pancaindera dan perbuatan.Jika hati yang baik maka baiklah akhlaknya.Dalam dunia hafazan hati merupakan pancaindera yg paling penting sekali.Boleh dikatakan setiap usaha dan langkah ketika menghafaz memerlukan hati yang jernih dan bersih.Oleh itu usaha usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT amat lah penting seperti solat berjemaah 5 waktu sehari semalam di masjid atau surau,perbanyakkan solat sunat seperti solat tahajjud, taubat dan tasbih, perbanyakkan amalan zikir dalam kehidupan seharian,membaca Al Quran setiap hari dan jika boleh bertadarus secara berkumpulan dengan orang surau atau masjid dan jika tak boleh juga cuba ajak salah satu daripada ahli keluarga sendiri.

Walaupun seseorang itu mempunyai pancaindera yg lengkap iaitu sihat dan sempurna anggota tubuh badannya tapi jika hati yg tidak baik maka dia sendiri tidak mampu menandingi seorang yg buta dan mampu menghafaz surah.Ya benar dalam dunia ini memang terdapat al hafiz dari kalangan yg buta penglihatannya.Apabila hati yg suci, bersih, jernih,niat yg ikhlas dalam beribadat kepada Allah SWT serta melakukan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya maka senang individu tersebut menghafal surah walaupun dia seorang yg buta penglihatan.

Oleh itu dalam setiap langkah langkah menghafal surah sepertimana yg aku cerita dalam post pertama iaitu pada tahun 2007, hati merupakan pancaindera yg paling utama dan berkaitan dengan pancaindera yg lain. Sebagai contoh jika seseorang mempunyai hati yg bersih dan suci maka amat senang hatinya menerima hafalan apabila dia melihat struktur huruf perkataan dan imagine apabila pandang ke tempat lain,tengok semula Quran dan produce balik struktur huruf tersebut apabila pandang ke tempat lain seolah olah menulis struktur huruf tersebut di dalam minda. Begitu juga dia tidak akan mempunyai masalah apabila photographic memory perkataan tersebut.Walaupun pada ketika ini mata dan otak antara pancaindera digunakan tapi hati adalah pancaindera yg paling utama.Begitu juga ketika mendengar ayat hafalan daripada Mp3 surah.Pada ketika ini telinga merupakan major function memory tapi hati masih merupakan pancaindera yg paling utama.Hati yg bersih dan jernih tidak akan mempunyai masalah untuk menghafal walaupun hanya menggunakan telinga sahaja dan even boleh imagine huruf apa digunakan walaupun dalam keadaan mendengar sahaja.

Bak kata hati berkaitan dengan pancaindera yg lain, merupakan pancaindera yg paling penting dalam setiap langkah hafazan,merupakan raja setiap perbuatan kita.Disarankan jika nak hafal surah panjang eloklah start dengan surah yassin kerana surah yassin adalah hati Al Quran.Perlulah ingat niat yg ikhlas semata mata kerana Allah SWT memang berkaitan dengan hati.Amat baik jika anda tidak menceritakan surah apa yg anda hafal secara public atau kepada orang ramai seperti kepada kawan kawan atau saudara mara, keep low profile,ini untuk mengelak perasaan riak yg boleh menjatuhkan diri sendiri di depan Allah SWT pada akhirat kelak.Ayuh mulakan hafazan anda dengan membersihkan hati pada bulan ramadhan yg akan tiba.Insya Allah








Sunday, February 10, 2013

Statistik


Insya Allah,schedule statistik ini menunjukkan berapa lama untuk menghafal Al Quran di mana bergantung kepada keupayaan dan usaha masing masing


Jika menghafal 1 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 17 tahun 7 bulan dan 9 hari

Jika menghafal 2 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 8 tahun 9 bulan dan 18 hari

Jika menghafal 3 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 5 tahun 10 bulan dan 13 hari

Jika menghafal 4 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 4 tahun 4 bulan dan 24 hari

Jika menghafal 5 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 3 tahun 6 bulan dan 7 hari

Jika menghafal 6 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 2 tahun 11 bulan dan 4 hari

Jika menghafal 7 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 2 tahun 6 bulan dan 3 hari

Jika menghafal 8 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 2 tahun 2 bulan dan 12 hari

Jika menghafal 9 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 1 tahun 11 bulan dan 12 hari

Jika menghafal 10 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 1 tahun 9 bulan dan 3 hari

Jika menghafal 11 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 1 tahun 7 bulan dan 6 hari

Jika menghafal 12 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 1 tahun 5 bulan dan 15 hari
  
Jika menghafal 13 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 1 tahun 4 bulan dan 6 hari

Jika menghafal 14 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 1 tahun 3 bulan dan 0 hari
  
Jika menghafal 15 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 1 tahun 2 bulan dan 1 hari

Jika menghafal 16 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 1 tahun 1 bulan dan 6 hari

Jika menghafal 17 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 1 tahun 0 bulan dan 0 hari

Jika menghafal 18 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 11 bulan dan 19 hari


Jika menghafal 19 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 11 bulan dan 1 hari

Jika menghafal 20 ayat setiap hari,anda akan menghafal Quran dalam masa 10 bulan dan 16 hari

Tuesday, January 29, 2013

Surah Yassin

Ramai yang sudah mengetahui kelebihan Surah Yassin yang terkandung di dalam al-Quran merupakan sebuah surah yang selalu dibaca oleh umat Islam terutama pada malam Jumaat. Tetapi tahukah kita bahawa dengan mengamalkan membaca Surah Yassin tidak kira masa, kita akan memperolehi pelbagai khasiat dan kebaikan.
Mengikut sebuah hadis, Surah Yassin dinamakan Mub’mah (pemberi berita baik) di dalam kitab Taurat kerana ia mengandungi manafa’at kepada pembacanya dikehidupan dunia juga akhirat, seperti menghindari penderitaan dunia akhirat dan juga menjauhkan kedahsyatan kehidupan akhirat.
.
Surah ini juga dikenali sebagai ‘Rafi’ah Khafidah’, iaitu yang mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan menurunkan darjat orang-orang yang ingkar (tidak beriman).
Allah SWT membacakan Surah Yassin dan Taha seribu tahun lamanya sebelum terciptanya langit dan bumi dan mendengarkan ini, para malaikat pun berkata,“Umat dimana Al-Quran diturunkan akan dirahmati, hati-hati yang memikulnya, iaitu yang menghafalnya akan dirahmati dan lidah-lidah yang membacanya akan juga dirahmati.”
Rasulullah SAW bersabda, “Hatiku menghendaki supaya Surah Yassin berada disetiap hati Ummatku.”

.
KEBERKATAN SURAH YASSIN
Rasulullah SAW telah bersabda: “Bacalah Surah Yassin kerana ia mengandungi keberkatan.
Berikut adalah beberapa keberkatan dan kebaikan yang dimaksudkan:

  1. Apabila orang lapar membaca surah Yaasin, ia boleh menjadi kenyang.
  2. Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.
  3. Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.
  4. Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.
  5. Jika terpenjara akan dibebaskan.
  6. Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.
  7. Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.
  8. Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan siksanya.
  9. Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.
  10. Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar daripada penyakitnya.
  11. Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah Yasin. Sesiapa membaca surah Yasin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali.”
  12. Sabda Rasulullah S.A.W lagi: “Apabila datang ajal orang yang suka membaca surah Yasin pada setiap hari, turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya.”
  13. Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yaasin sehingga datang Malaikat Redwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.
  14. Rasulullah S.A.W bersabda selanjutnya: “Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yaasin dan rakaat kedua Tabaroka. Allah jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya di tangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik.
FADHILAT DAN KHASIAT SURAH YASIN
Banyak kelebihan-kelebihan daripada surah Yassin yang disebutkan di dalam banyak hadis. Antaranya:
Rasulullah SAW bersabda;
1.  “Sesiapa yang membaca Surah Yassin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu akan dipenuhi“.
2.  “Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati Al-Quran itu ialah Surah Yassin.”
3.  “ Sesiapa membaca Surah Yassin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca Al-Quran sebanyak 10 kali.”
4.  “Sesiapa yang membaca Surah Yassin semata mata kerana Allah, segala dosa-dosanya yang dahulu akan diampunkan. Oleh itu jadikanlah sebagai amalan untuk dibaca ke atas orang yang mati.”
5.  “Jika seseorang itu membaca Surah Yassin pada setiap malam dan kemudiannya meninggal dunia, ia akan mati sebagai mati syahid.”
6.  “Sesiapa membaca Surah Yassin, ia akan diampunkan, siapa sahaja yang membaca semasa kelaparan, akan dihilangkan kelaparannya itu, siapa membacanya dikala sesat jalan, akan menjumpai jalannya semula, siapa membaca kehilangan binatang akan mendapatkannya semula, dan bila seseorang itu membacanya kerana bimbangkan kekurangan makanan, makanan itu akan mencukupi. Dan jika membaca kepada orang yang menghadapi penderitaan maut, akan dimudahkan baginya. Dan jika seseorang itu membaca ke atas perempuan yang sukar untuk melahirkan anak akan dimudahkan juga baginya.”
7.  Maqri rahmatullah ‘alaih berkata, “Jikalau Surah Yassin dibaca oleh seorang yang takut pemerintah atau musuh, ia akan dihilangkan akan ketakutan itu.”
8.  “Jikalau seseorang itu membaca Surah Yassin dan Surah Was-Saffat pada hari Jumaat dan memohon kepada Allah sesuatu, doanya akan diterima.”
9.  “Sesiapa bersolat sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama Surah Yassin dan rakaat kedua Tabaroka, Allah jadikan setiap huruf cahaya dihadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya ditangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik.”
10.  “Apabila datang ajal orang yang suka membaca Surah Yassin pada setiap hari, turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya”.
11.  “Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yassin sehingga datang Malaikat Redwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.”
12.  “Sesiapa yang membaca Surah Yassin kerana Allah Azza wa Jalla, Allah akan mengampuni dosanya dan memberinya pahala seperti membaca Al-Qur’an 12 kali. Jika Surah Yassin dibacakan di dekat orang yang sedang sakit, Allah menurunkan untuknya setiap satu huruf 10 malaikat. Para malaikat itu berdiri dan berbaris di depannya, memohonkan ampunan untuknya, menyaksikan saat ruhnya dicabut, mengantarkan jenazahnya, bershalawat untuknya, menyaksikan saat penguburannya. Jika surat ini dibacakan saat sakaratul maut atau menjelang sakaratul maut, maka datanglah padanya malaikat Ridhwan penjaga surga dengan membawa minuman dari surga, kemudian memberinya minum ketika ia masih berada di katilnya, setelah minum ia mati dalam keadaan tidak haus, sehingga ia tidak memerlukan telaga para nabi sampai masuk ke surga dalam keadaan tidak haus.” (Tafsir Nur Ats-Tsaqalayn).
13.  Anas bin Malik berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mengunjungi perkuburan lalu membaca Surah Yassin, maka pada hari itu Allah meringankan seksaan mereka dan bagi yang membacanya mendapat kebaikan sebanyak penghuni kubur di perkuburan itu.” (Tafsir Nur Ats-Tsaqalayn).
14.  Imam Ja’far Ash-Shadiq: “Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati, dan hati Al-Qur’an adalah Surah Yassin. Sesiapa yang membacanya sebelum tidur atau di siang hari sebelum keluar rumah, maka hari itu sampai ke petang, ia tergolong pada orang-orang yang terjaga dan dikurniakan rezeki. Sesiapa yang membaca di malam hari sebelum tidur, Allah mengutus 1,000 malaikat untuk menjaganya dari keburukan semua syaitan yang terkutuk dan dari setiap penyakit; jika ia meninggal pada hari itu, Allah akan memasukkannya ke syurga, 3,000 malaikat hadir untuk memandikannya, memohonkan ampunan untuknya, mengantarkan ke kuburnya sambil memohonkan ampunan untuknya; ketika ia dimasukkan ke liang lahatnya para malaikat itu beribadah kepada Allah di dalam liang lahatnya dan pahalanya dihadiahkan kepadanya, kuburnya diluaskan sejauh mata memandang, diselamatkan dari siksa kubur, dan dipancarkan ke dalam kuburnya cahaya dari langit sehingga Allah membangkitkannya dari kuburnya kelak.” (Kitab Tsawabul A’mal).

Berikut ini disenaraikan fadhilat dan kelebihan-kelebihan ayat ayat Surah Yassin…Semoga kita semua dapat amal insyaAllah.

Rahsia Kelebihan Ayat 1 - 9 :
Untuk keselamatan diri
Rahsia Kelebihan Ayat 9 :
Orang jahat tak nampak kita especially orang kafir. Tapi janganlah digunakan utk elak daripada Kastam/polis. Tu dah niat lain.
Rahsia Kelebihan Ayat 12 :
Merupakan Jantung Yaasiin - Rasulullah s.a.w. berharap ayat ini di hafal oleh setiap mukmin dan mukminat.
Rahsia Kelebihan Ayat 13 - 35 :
Mengisahkan orang-orang yang mati syahid.
Rahsia Kelebihan Ayat 22 - 23 :
Untuk menjaga aqidah Memberi hidayah kepada anak.
Rahsia Kelebihan Ayat 29 :
Sebagai amalan untuk mengelakkan diri dari di fitnah dan kejahatan mulut & juga utk digunakan jika kita rasa orang nak fitnah or aniaya kita. Lebih elok selepas baca di semburkan ke muka orang tsbt.
Rahsia Kelebihan Ayat 30 :
Untuk keinsafan - Supaya dapat dipertemukan dengan Allah s.w.t. (harus sentiasa berada dihati - beramal dengannya).
Rahsia Kelebihan Ayat 32 :
Untuk menginsafkan orang lain supaya menjadi baik.
Caranya: Ingat yang segalanya datang dari Allah s.w.t. Kita umat Muhammad & kita orang Islam
Rahsia Kelebihan Ayat 33 - 35 :
Elok dijadikan amalan bagi sesiapa yang suka bercucuk tanam. Tanaman akan subur
Rahsia Kelebihan Ayat 36 :
Menerangkan yang kehidupan ataupun kejadian di dunia ini dijadikan berpasang-pasangan. Ayat ini elok diamalkan bagi sesiapa yang belum berkahwin supaya di pertemukan jodoh.
Caranya: Baca dan berdoa. Hembus dan sapu pada muka setiap pagi sebelum keluar rumah.
Rahsia Kelebihan Ayat 37 :
Adalah untuk menetapkan aqidah diri sendiri. Hati yang kering akan hidup semula.
Rahsia Kelebihan Ayat 38 :
Mengisahkan yang bulan dan matahari pun sujud pada Allah s.w.t. yang satu.
Rahsia Kelebihan Ayat 39 :
Mengisahkan ilmu falak.
Rahsia Kelebihan Ayat 40 :
Merupakan kenyataan Allah s.w.t. yang satu.
Rahsia Kelebihan Ayat 41 :
Mengisahkan Nabi Noh a.s. naik kapal - Elok di baca sewaktu menaiki kenderaan.
Rahsia Kelebihan Ayat 44 :
Mengisahkan keseronokan hidup di dunia - Di baca untuk dijauhkan fitnah dalam hidup.
Rahsia Kelebihan Ayat 45 - 48 :
Merupakan kedegilan orang kafir kepada Allah s.w.t.
Rahsia Kelebihan Ayat 49 :
Menceritakan hari akhirat dan kehidupannya.
Tiupan 1 - Datang dengan tiba-tiba
Tiupan 11 - Hancur
Tiupan 111 - Semua orang di hidupkan semula dan hadir dipadang Mahsyar.
Rahsia Kelebihan Ayat 50 :
Setiap orang akan dihisap mengikut amalannya.
Rahsia Kelebihan Ayat 58 :
Merupakan salam daripada Allah. Jika rasa sakit kepala, baca dan sapukan ke kepala. Ulang sebanyak 3x.
Rahsia Kelebihan Ayat 76 :
Dibaca untuk mententeramkan diri dari fitnah orang. Dijadikan amalan & jika hati rasa sedih, sebak atau pun kecewa.Sambil pegang dan urut dada, bacalah ayat tsbt.
Rahsia Kelebihan Ayat 78 - 79 :
Dikhaskan untuk sakit urat, tulang dan badan.Untuk doa ayat 78. “dia berkata, Siapakah (yang dapat) menghidupkan tulang belulang padahal telah hancur?. Juga bacalah jika sakit tulang, urat atau tulang patah berikan ayat ini.
Rahsia Kelebihan Ayat 79 :
Katakanlah, Yang akan menghidupkannya ialah yang menciptakannya pertama kali. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk.”
Rahsia Kelebihan Ayat 82 :
Untuk Hajat - Jika berhajat sesuatu bacalah 100x.
Dibaca pada air dan minum selama 40 hari boleh menjadi penawar.
Jika air habis ulang bacaan tsbt sehingga 40 hari.
Caranya: Sembahyang Tahajjud (3x) berturut-turut pastu baca pada air 100x & berdoa apa sahaja hajat
  • Buah-buahan yang diceritakan dari dalam Al-Quran adalah:
Buah Zaiton - Elok untuk kulit
Kurma - Berkhasiat (memberi tenaga)
Delima - Dalam sebiji buah ada sebutir biji yang menjadi penawar ubat yang mujarab
Ad Tin - Memberi kekuatan - tenaga, fikiran lemah, tidak boleh beranak.
Seelok-eloknya dibaca :
  1. Selepas sembahyang subuh
  2. 3 Jumaat berturut-turut
  3. Ayat 1 - Yassin baca 7x
  4. Ayat 38 - 12x
  5. Ayat 58 - 7x
  6. Ayat 82 - 14x
  7. Habis, diulang semula step 3 hingga 6. Kesemuanya Surah Yassin dibaca sebanyak 3x.
  8. Habis baca surah Yassin, baca Al- Fatihah, bacalah hajat yg dihajati dan selepas hajat dibaca semula Al- Fatihah.
  9. Perlu yakin, insyallah dgn berkat Allah ianya termakbul.
Selamat Beramal!
.
Surah Yassin ini hendaklah dibacakan selalu ketika orang sakit, tengah nazak, sedang koma atau sudah meninggal dunia. Baca di sisi mereka (terutama ayat 12), supaya orang tersebut berada dalam kesenangan dan orang yang masih hidup insaf bahawa esok, lusa kita pula akan menyusul.
.
Begitu banyak kelebihan dan kebaikan yang bakal kita perolehi melalui amalan pembacaan Surah Yassin seperti yang telah disebut di atas. Sudah semestinya salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada seseorang melalui hatinya seperti juga Surah Yassin hati kepada Al-Quran; Oleh kerana itu marilah kita sama-sama mendekatkan diri kita kepada Allah SWT melalui ibadah dan bacaan Surah Yassin yang banyak manfaatnya ini. InsyaAllah.