☼ Surah As-Sajdah diturunkan di Mekah, ayat-ayat Makiyyah.
☼ Merupakan surah ke-32 dalam Juz' ke-21.
☼ Mengandungi 30 ayat.
☼ Membawa maksud 'sujud'.
☼ Dinamakan As-Sajdah kerana terdapat ayat yang menerangkan perihal orang-orang yang beriman, apabila mendengar ajaran kitab Allah lalu sujud sebagai bersyukur atas segala nikmat Allah.
Kelebihan Surah As-Sajdah:
1- Mendapat pahala seperti solat ketika Lailatul Qadar.
2- Dikuatkan keIslaman dan tauhidnya.
3- Mendapat ilmu yang benar.
Sabda Rasulullah (yang bermaksud) :
"Sesiapa membaca Surah As-Sajdah, pahalanya seperti orang yang solat menepati malam al-Qadar dan dikuatkan keIslamannya, tauhidnya serta mendapat ilmu yang benar."
4- Melindungi pembacanya daripada kesusahan semasa hari Kiamat.
Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):
"Surah Alif Laam Sajdah akan datang pada hari Kiamat dengan 2 sayap sambil melindungi si pembacanya seraya berkata; "Tidak ada kesusahan bagimu.""
5- Merupakan amalan Rasulullah setiap malam (di samping surah Al-Mulk).
Dan diriwayatkan imam Ahmad daripada jabir berkata (yang bermaksud):
”Adalah Nabi SAW tidak tidur hingga dibaca surah As-Sajdah dan Al-Mulk”
6- Surah As-Sajdah dan Al-Mulk melebihi 17 kali ganda berbanding surah-surah lain.
Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud) :
"Kedua-dua surah ini melebihi surah-surah yang lain sebanyak 17 kali ganda."
7- Dikurniakan nur (cahaya) bagi pembacanya ketika ia mati.
8- Melindungi pembacanya dari seksa kubur.
9- Surah yang dibaca oleh Rasulullah ketika solat Subuh pada hari Jumaat (di samping surah Al-Insaan).
“Nabi SAW membaca pada solat fajar (subuh) pada hari Jumaat “Alif Laam Miim Tanzil” As-Sajdah dan “Hal Ata ‘Alal Insaan” Al-Insaan
(Hadis Riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.)
10- Merupakan salah satu surah Al-Munjiah.
Al-Darimi menyebutkan sebuah athar yang bersumberkan daripada Khalid bin Mi'dan katanya:
“Bacalah surah al-Munjiah iaitu alif lam mim tanzil, kerana sesungguhnya telah sampai berita kepadaku tentang seorang lelaki yang sering membacanya yang mana dia tidak beramal dengan surah selainnya. Lelaki itu pula merupakan seorang yang banyak berbuat dosa. Lalu surah tersebut menebarkan sayapnya seraya berkata: Wahai Tuhanku, ampunkanlah dosanya kerana dia seorang yang banyak membaca daku. Lalu Tuhan memberikan syafaat kepadanya serta berfirman: Tuliskan untuknya bagi setiap kejahatan yang dilakukannya sebagai kebajikan dan angkatkan untuknya satu darjat.”
Sujud Tilawah
Apabila sampai membaca ayat 15 (Surah As-Sajdah), kita disunatkan sujud Tilawah.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, "Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka.
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hukum sujud Tilawah adalah sunat mu'akad, atau sunat yang amat digalakkan.
Dari Umar r.a.: Pada suatu hari Jumaat, baginda (Rasulullah) membaca surah al-Nahl di atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat sajadah, baginda lalu turun dan sujud. Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada hari Jumaat berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat sajdah baginda berkata: "Wahai manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi barangsiapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan barangsiapa yang tidak melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Bacaan ketika Sujud Tilawah:
Maksudnya:
"Bersujud wajahku kepada Tuhan yang menciptakannya, yang membelah pendengaran dan penglihatannya dengan Daya dan Kekuatan-Nya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta."
Al-Quran memberi syafaat di akhirat
Rasulullah s.a.w bersabda :
'Bila seseorang itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.
Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata, Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga.'
Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata,'Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.'
Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi.
Rasulullah s.a.w bersabda :
'Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Al-Quran, mahupun dari Nabi atau Malaikat.'